Monday, March 30, 2009

Ketupat Sotong

Rata-rata orang memperkatakan tentang kempen menyejukkan bumi...kita diseru (jangan salah seru, nanti tak boleh pandang belakang..! ehehe...) untuk menutup lampu. Ditekankan, menutup lampu sahaja. Bukan memadamkan semua peralatan elektrik.

Teringat tingkah laku seorang ipar makcikku,beliau mengalami tekanan mental akibat kematian suami beliau (jika aku tidak salah, inilah yang diceritakan kepadaku oleh saudara rapatnya) dan penyakit yang sememangya sudah diwarisi terus menyerang. Beliau sering menjadi bahan sendaan, bukanlah ditindas...sekadar penyeri suasana. Tidak lebih dari itu. Pernah suatu hari ketika makcikku kerumah beliau untuk menziarahinya, beliau membiarkan air mengalir dari sebuah paip (betul tak penjodoh bilangan aku?). Makcikku dengan ralat atas pembaziran itu bertanya...

"Kenapa Along biarkan air ni terbuka...?"

Beliau dengan spontan menjawab..."Bumi panas...."

Kejadian ini berlaku beberapa tahun yang lalu. Lihat! Beliau yang kurang sempurna pemikiran juga lebih prihatin. Bagaimana dengan kita?

Oh ya! Pada malam itu aku sememangnya membiarkan semua lampu terpadam kerana aku dan adik-adikku tiada di rumah. Ibubapaku masing-masing ke Terengganu dan Seremban atas urusan kerja. Kami ke Midvalley main bowling. Dan pusat bowling itu sememangnya gelap kerana berkonsepkan "Bersinar Dalam Gelap" (Glow in the dark) Hahahaha...! Jadi secara tidak langsung kami sememangnya menyertai kempen itu. ;)

Kenapa ketupat sotong? Sebab aku tengah menikmatinya, menu baru yang emakku bawa pulang dari terengganu. Hehe...Seorang rakan pejabat beliau membekalkan ibuku dengan menu ini. Ia adalah sotong yang disumbatkan dengan pulut didalamnya, dan berkuahkan santan. Terdapat biji alba dalam kuah tersebut. Rasanya ala-ala nasi dagang. Menarik!

Ni dia..

Sunday, March 29, 2009

Yasmin Ahmad - Dua Ibu Jari Untuknya!

Ini merupakan filem Yasmin Ahmad yang ke-3 aku tonton di pawagam. Sememangnya hasil karya beliau tidak pernah menghampakan. Dan hari ini filem beliau telah mampu membuai perasaan aku, membuatkan aku 'banjir'. Sehinggakan sudah keluar dari pawagam, aku masih rasa tak puas melepaskan kesedihan dek pukulan jalan cerita dan gaya persembahan yang begitu menyentuh perasaan.

Aku amat mengagumi bakat pelakon yang membawa watak Hafiz itu, tampak begitu neutral. Begitu juga watak Mahesh dan ibunya. Lakonan tiga watak ini amat memberi kesan dihati aku. Jacklyn juga tidak kurang hebatnya, beliau tidak nampak kekok dan berjaya menghayati watak dengan baik.

Isu-isu yang diutarakan dalam jalan cerita ini adalah isu yang berlaku dikalangan masyarakat kebanyakan...
....kisah dugaan anak menjaga seorang ibu yang sakit,sedang beliau sendiri bergelut dengan tanggungjawab untuk menuntut ilmu
....kisah tentangan perhubungan antara lelaki dan perempuan atas dasar agama dan kaum
....kisah rakan seperjuangan yang cemburu dengan kejayaan kita

Semua isu-isu yang biasa, tetapi cara penyampaian beliau yang unik membuatkan watak itu terlalu dekat dihati kita. Maka ia lebih terkesan. Contoh, beliau tidak perlukan penggambaran di sekolah yang canggih untuk menjadikan jalan cerita itu gah, mungkin hanya 5% daripada masyarakat Malaysia yang bersekolah dibangunan seperti itu.Disebaliknya beliau telah memilih sebuah sekolah bangunan lama sebagai lokasi. Dinding batu koridor yang telah tertanggal cat, dewan sekolah yang terhasil daripada pemisah setiap kelas yang dibuka (fahamkah apa yang aku cuba gambarkan?), dan Kebanyakan kita dan anak-anak kecil sekarang masih menggunakan bangunan seperti itu, maka dengan cara ini kita akan berasa lebih dekat dengan cerita itu...

Bagi saya, filem beginilah yang mampu menaikkan martabat filem Malaysia. Saya tidak sabar menunggu filem Yasmin seterusnya !!