Showing posts with label Kawan. Show all posts
Showing posts with label Kawan. Show all posts

Wednesday, May 6, 2009

Bandar Hilir Melaka


Semakin tidak produktif aku ini...aku tidak dapat megeluarkan entri sekerap beberapa bulan lepas. Bukan tidak ada apa-apa yang hendak diceritakan, tetapi otak aku seperti beku untuk mengalirkan ayat-ayat yang boleh menyalurkan isu-isu dikepala ini. Banyak juga perkara yang ingin diutara atau diselatankan...hehe..

Dek kerana lama sangat, aku cuma masukkan mana yang aku masih ingat la ye...

........................................................................

Bulan April adalah bulan yang sangat sibuk, jadual kerja aku amat padat, daripada mesyuarat pengurusan, mensyuarat di P.Mutiara seperti yang diceritakan di entri ini, kemudian kursus induksi untuk staf-staf, dan akhir skali kursus induksi untuk aku sendiri di ibu pejabat.

Mesyuarat Pengurusan;

Pengerusi: Siapa yang buat minit?

Aku: Saya (Sambil mengangkat tangan paras bahu) Apa hal aku angkat tangan?? Ingat ni kelas darjah 1 ke?

Pengerusi: I know my english is not that good, but i think minutes ni ayat dia berterabur la...ya tak? (sambil memandang panel yang lain)

Huhuhu....panas terus telinga aku..malunya..tapi muka tetap cool.

Pengerusi: Saya rasa kalau susah sangat you buat dalam Bahasa sahajalah..ya? It's ok, buat dalam Bahasa sahaja..

Aku: (Mengangguk sambil tahan mata yang nak terbelalak) Hah... matilah aku, dah lama aku tak buat dokumen rasmi guna Bahasa, aku jamin aku akan pening kepala tahap Gaban (Makcik aku dulu suka puji Gaban ni kacak..dan aku berfikiran sempit melabel beliau gatal! haha...maaf makcik!!) huhu.!!

Dalam perjalanan pulang dari tempat mesyuarat ke pejabat, aku mengadu dekat bos aku...

"Bos, macam mana ni...peningla saya nak buat minit dalam BM!"

"Confirm pening punya! Tapi nak buat macam mana..."

Tolongggggggggggggggggggggggg.... jerit hatiku! Aku pernah nak terjemahkan satu frasa yang mengambil masa selama hampir setengah jam. Itu baru satu frasa, sebuah minit mesyuarat pula???

Mesyuarat kat Pulau Pinang aku dah cerita...cari sendiri..! Hehe

Kursus induksi pula Alhamdulillah..walaupun ini julung kali pengurusan baru buat, semua berjalan lancar dan memberi impak yang memberangsangkan..aku seronok dapat berkongsi pengalaman yang (sangat) cetek kepada peserta...sesi aku ditujukan soalan yang bertubi-tubi daripada peserta, maksudnya mereka beri perhatianlah kan? ;) 

Kursus induksi aku pula pada mulanya agak menjemukan dan mengantukkan..tapi bila masuk hari ke 3 dan 4 baru mula aktiviti seronok sebab ada perbincangan dan pembentangan. Aku salah seorang wakil kumpulan aku "Mambo No. 5" !! Hehe...sebab kumpulan kami kumpulan ke-5. Oh ya..! Hari ke-3 kami ada sesi belajar "Breast Feeding" sebab hospital aku telah dianugerahkan status BFHI (Breast  Feeding Hospital Insentive) yang mana semua ibu-ibu digalakkan menyusukan anak dengan susu ibu bukan lembu. Puting getah atau botol susu diharamkan di wad bersalin!. Seronok dan mengharukan sebab bila belajar, naluri keibuan terus membuak-buak. Yang lelaki pun bukan main banyak tanya, maklumlah masing-masing tengah dalam proses nak mengenal alam rumah tangga. Sesungguhnya ciptaanNya sungguh sempurna, terlalu banyak kebaikan secara langsung atau tidak kepada ibu dan bayi jika disusukan dengan susu ibu. Antara kelebihannya adalah; 

1.Dapat memindahkan antibodi ibu kepada bayi
2.Dapat menenangkan bayi kerana asal mereka adalah dari dalam tubuh ibu, jadi apabila berada dekat dengan tubuh ibu dia akan merasa tenang
4.Dapat memercepatkan proses pengeringan luka ibu yang bersalin
5.Dapat membantu proses menurunkan berat badan ibu kepada asal kerana lemak-lemak dan protein dipindahkan secara sempurna kepada bayi.

Eh..dah la...nak tau banyak lagi tanya aku ya..! Hehe...kalau berminat nak ke kelasnya beritahu aku, aku boleh uruskan.

Oh ya, aku ditimpa dugaan semasa hari pertama induksi, aku kemalangan. Kereta aku berlanggar dengan sebuah Gen 2. Pintu dia kemek, kena di tengah-tengah iaitu dua-dua pintu terlibat. Kereta comel aku? Ha...elok aku selesai belek-belek kereta orang yang dilanggar aku, aku pun berpatah semula ke keretaku...

"Ya Rabbi...kereta aku..!!!" Suara memang terkejut gila, siap tangan aku pegang kepala (macam cerita Hindustan)

Mamat tu pun dengan muka innocent+mamai menyahut.. "Tu laaa kak..!"

Heh..agaknya dari tadi aku leka (sebenarnya kusut fikir duit yang kena keluar! Hahaha!!) tengok kerosakan kereta beliau, aku lupa tengok kereta sendiri!! Haaa.............ambik!

Bumper depan senget sebelah, jatuh sebelah kiri dan lampu signal terjuntai! Bila aku keluar malamnya nak hantar ke bengkel...lampu sebelah kiri hidup pula, sebelah kanan yang kantoi! 

Terbang RM400.00 (Tak masuk kos tukar lampu RM65), tak adalah rezeki nak buat cermin mata hitam penghalang sinar UV dan cita-cita membeli-belah sakan semasa percutian tak lama lagi...

Apa-apa pun, aku , masih bersyukur..walaupun ditimpa dugaan..dalam masa yang sama aku ada kenalan atas kenalan yang ada bengkel berdekatan. Dapat harga istimewa, kalau tak lagi teruk aku kena tanggung kos..! Terima kasih anne gundu (Anne...hitam itu emas! Hahahaha!!)

********************************************************

Em, Hari Buruh aku ke Melaka bersama keluarga. Bapaku nak selesaikan beberapa urusan rumah sewa beliau disana. Jadi alang-alang dah sampai sana, kami pusing-pusing bandar hilir..


Air pancut di tengah-tengah Bandar Hilir, kali terakhir aku ke sini rasanya lawatan sekolah rendah!


Wanita ini sungguh berani...aku menghampiri beliau untuk ambil gambar, sekali kepala ular ni menoleh ke arahku...cabutttt..!!!


Ular sawa albino


Ni model, mereka ada penggambaran di sini...ni baju yang paling menarik perhatianku..

Apakah kata-kata hikmahnya?? Goooooooooooooooo Sapiiiiiiiiii.....!! Heheh...

St. Paul

Sungguh nostalgia..kenapa ada garisan dekat tulisan ni??

Sila abaikan objek paling hadapan, fokus adalah pada dua bangunan bersejarah dibelakang..


Monday, April 27, 2009

Lagi Majlis Perkahwinan Bekas Rakan Seperjuangan

Hari sabtu lalu aku mengambil cuti untuk meraikan hari besar bagi bekas rakan seperjuanganku dan masih bersahabat semestinya. Ya, banyak sangat perjuangan yang berbekas bersama..sebab tu aku tulis tajuk begitu. "Bekas-bekas"nya adalah...

1.Sekolah rendah sama..tak sekelas tapi ada la juga pergi sekolah sama-sama, berjalan beriringan tak sesaiz! Hahahaha...
2.Sekolah menengah sama...9bulan saja...
3. Pusat matrikulasi pun sama..aku pergi nun jauh kat hujung negara..sekali jumpa dia juga!!
4. IPTA yang sama!
5. 2 Persatuan yang sama!!! Dua-dua kami aktif..
6.Masih lagi berjiran...tak kira bekas lagi la...

Alah...aku tulis pun apa kau semua peduli...aku bukan Dato Siti ke, Datuk Sri Rafidah ke...tapi sebab ni blog aku...hehe..peduli!

Em..berbalik kepada majlis beliau..memanglah amat meriah, dari majlis nikah malam sebelum pun memang dah cukup meriah. Perkara biasa yang terjadi di sesebuah majlis perkahwinan adalah seolah-seolah sebuah tempat pertemuan semula rakan-rakan lama. Sama ada sekolah, pusat pengajian tinggi atau rakan pejabat. Jadi dek kerana kami banyak menuntut di tempat sama..seronok sangatlah aku dapat jumpa ramai kawan. Kerja aku layan mereka ni sahajalah...ala-ala penyambut tetamu la....

Alhamdulillah semua berjalan lancar..semoga beliau berbahagia menempuh alam rumah tangga dan dapat menjalankan tanggungjawab sebaik mungkin. Masih belum dapat menerima hakikat yang beliau telah menjadi isteri seseorang...!

Kali ini baru aku puas dapat main dengan si comel ini..walaupun sekejap..


Si tembam ini tidur dengan nyenyaknya...empuk sangat!!


Baju pengantin dari dekat..aku sangat suka..!!


Pasangan yang diraikan..


Sejurus selepas nikah...

Sunday, March 15, 2009

LEKAS & Cendol Leman Dawi

Ya, pasti anda berfikir yang aku telah menikmati makanan tersebut. Tett....salah!

Yang aku nak ceritakan disini bukanlah kelazatan cendol tersebut waima rasanya sekalipun tidak. Apa yang aku ingin kongsi disini adalah pengembaraan aku ke Seremban bersama rakan lamaku Tayar (eh bukan sebarang tayar tau..ni nama timangan semenjak sekolah) dan rakan sepermainannya dari kecil, Hafiz (Aku suka-suka terpanggil nama dia Shah..!).

Sebenarnya pemergian kami ke Seremban untuk menghadiri majlis perkahwinan rakan sekelas kami semasa di KUSESS dahulu, Shikin. Lokasinya adalah Taman Selasih, Lukut. Dipendekkan cerita, menumpang beliau adalah rancangan saat akhir. Jadi aku sangat menghargai kesudian beliau untuk menjemputku di Kajang sebaik aku habis waktu bekerja (ya aku bekerja hari Sabtu #_#).

Kami melalui lebuhraya yang baru sahaja dibuka hujung tahun lalu, LEKAS. Memang lekas! Dalam masa 30 minit sahaja kami sudah tiba di bandar Seremban. Tayar ada menyebut hasrat untuk ke Leman Dawi...

"Leman Dawi?" Aku bersuara penuh tanda tanya. Bunyinya seperti kedai kopi, tapi lagak ajakannya seperti sebuah tempat terkenal...




"Haah, dia jual cendol. Kau bayar sekali je, untuk tambahan tak perlu bayar...! Kalau sempat kita pergi ya..." Jawab Tayar.

Melihatkan Hafiz begitu mahir memandu arah, jadi aku biarkan mereka berdua memutuskan arah tuju. Aku leka dibelakang melihat-lihat persekitaran. Apabila melalui satu jalan kampung, hatiku mula curiga dan bermonolog..

"Betulke jalan ni?"

Namun begitu Hafiz dan Tayar begitu yakin dengan arah tuju tersebut, ayat dari Hafiz yang paling aku rasa kelakar..

"Eh, betullah ni...PD kan belah selatan..kita ke Selatan la ni..."

Selepas hampir 10 minit, aku terlihat papan tanda bertulis..

Johor Bahru
mkkfljlfjdlajl (Tak ingat)
Gemas

Gemas ???

Terus aku bersuara.."Eh Tayar, betul ke jalan ni? Lain macam je..?"

Hafiz menyangkal.."Betul ni..kita kan ke Selatan ni..."

Tiba-tiba...

"Eh, cendol Leman Dawi la...!!" Jerit kecil si Tayar.

"Wah..Cool...! Dapat juga kita jumpa ya..!" Sahut Hafiz.
Fakta: perkataan kegemaran Hafiz, 'cool' ada hampir 99 kali beliau menggunakan perkataan ini sepanjang perjalanan.

Mereka begitu teruja dapat melihat sendiri gerai tersebut, malah aku juga kagum melihat sambutan orang ramai pada perniagaan tersebut. Macam sebuah kenduri kecil. Mereka tak henti-henti mengekspresikan keterujaan mereka.

Kemudian melepasi satu lagi papan tanda...

Johor Bahru
knlnlfndnflsn (Masih tak ingat)
Gemas

Tak ada Port Dickson!

Tayar pula mula curiga, "Eh, betulke ni Hafiz? Aku dah mula rasa cemas.."

Hahaha...perkataan cemas tu tak tahan!

Selepas beberapa meter, ada sekatan jalan raya oleh JPJ. Mereka memutuskan utuk bertanya kepada pegawai JPJ tersebut. Ya, semua kereta dibelakang terpaksa menunggu pegawai JPJ tersebut menjawab pertanyaan kami. Hahahaha..! Kelakar betul! Kesian pemandu-pemandu dibelakang. Ternyata kami sudah tersasar jauh dari arah sebenar! Kami berpatah balik.

Melepasi semula gerai cendol Leman Dawi...satu kejadian yang julung kali aku saksikan dan menimbulkan lebih rasa kagum...

Kelihatan seorang lelaki berdiri di atas kerusi di tepi jalan, di pintu masuk gerai tersebut sambil memegang sebuah papan tanda sederhana besar bertulis..

"Cendol sudah habis"

Wah..ada pengumunan!

Selesai kagum kali kedua, kami fokus kepada perjalanan kami. Kami bertanya pula dengan seorang peniaga buah berbangsa India. Kali ini kami semakin pasti jalan ini adalah yang sebetulnya.

Jam 2.30 kami tiba di Seremban tetapi hampir jam 4 petang baru kami tiba di rumah pengantin. Bermakna hampir 1 jam setengah kami sesat! Aku tetap bersyukur kerana kami selamat dan dapat juga bertemu pengantin dan dua lagi sahabat lama yang tabah menunggu ketibaan kami yang sesat barat! Hehehe...

Dalam perjalanan pulang, baru aku maklum bahawa Hafiz bukan mahir tentang jalan tetapi buat-buat mahir. Mereka berdua ni memang sepasukan dari segi keselambaan, lawak dan 'cool'.
Jadinya walaupun sesat, aku tak lah terasa sangat sebab tak kering gusi aku mendengar celoteh mereka.

Yang pasti kami menanam azam untuk mengunjungi gerai cendol Leman Dawi suatu hari nanti!

Kau belanja ya Tayar? Hehehe...

Oh ya...tahniah buat Noorashikin Shawaluddin atas majlis perkahwinan beliau. Semoga jodoh berkekalan ke akhir hayat dan dipermudahkan perjalanan hidup berumahtangga.

Gembira.

Tuesday, February 10, 2009

Rezeki hari ini..saya sangat gembira..!!

Ni aku beli masa balik dari kerja, rancangnya nak beli waktu makan tengah hari tadi. Tapi memandangkan saat-saat akhir terpaksa ke destinasi lain, jadi aku luangkan petang aku ke plaza metro. Hasrat untuk mencari hadiah untuk kawanku yang baru melahirkan seorang puteri...















Ni pula dua baucer untuk tiket wayang ;) ye aku buat tebusan mata untuk Bonuslink. Yeay...!! Nak tengok Pink Panther 2!


Monday, February 2, 2009

Z.A.I.D.A.H

Saat bahagia Zaidah Noor Binti Ahmad. Rakan sebilikku tatkala muda-mudi di Kolej matrikulasi. Banyak sungguh memori-memori yang pelbagai rasa.Dalam masa setahun yang singkat, ikatan yang termeterai sangat erat antara kami berlapan. Kalau la mesin "back to the past" wujud, nak sangat pergi masa tu.Umm...tapi dalam keadaan fizikal sekarang boleh?? Dulu aku gelap dan gemuk gilerr..isk..macam la skang putih dan kurus sangat..hikhik!

Kenapa ye walaupun setahun je, tapi kami sangat rapat? Emm...mungkin...;

1. Lahir pada bulan sama. Masa matrik dulu, penempatan adalah mengikut no. kad pengenalan. Jadi kami semua tergolong dalam zodiak yang sama, maka perwatakan pun tak jauh beza la kan? Bila sama, kegilaan menjadi-jadi! Cuma sorang je bulan lain, dia adik bongsu la kiranya. Tapi dek kerana 7 lawan 1. Maka yang satu itu menyerupai 7 akhirnya...tak faham? takpe....yang penting Ina faham...hikhik!

2. Berjauhan dari keluarga, banyak sangat masa diluangkan bersama. Ye la, bila jauh jarang balik kan. Jadi, hujung minggu mereka la keluarga kita. Bila banyak masa bersama, maka kegilaan makin menjadi-jadi!

Aku rasa hidup masa tu sangat adventure. Antaranya yang tak dapat aku lupakan;

Sebaik menyedari sejumlah wang biasiswa telah kami terima... ZASSS...! Kami menyewa sebuah kancil dan sebuah iswara. Surau UiTM Arau kami tumpang untuk ke persalinan yang kedua (heheh...xmo kua pakai uniform PINK...orang ingat puteri UMNO seh..aku budak baru belajar laaa..).Pastu ZASSS kami ke Padang Besar. Ina drive...Ingat tak ina?.Dah agak-agak puas jamu mata, dan membeli sedikit buah tangan....Eh, aku ingat. Masa tu aku belikan Shikin (teman baikku tatkala keanakan di KUSESS) baju tidur untuk harijadinya...lalu aku pos lajukan hadiah ke kolej beliau. Shikin, ade lagi ke baju tu?? Hehehehe...

Selesai di Padang Besar...ZASSSS...kami ke Alor star, kali ni stereng bertukar ke tangan yang juga setahun jagung, tapi yakin hebat..hahaha! Ina kata "takutla nak bawa keta kat bandar". Padahal tu kali pertama aku bawak keta manual lepas dapat lesen! Sebaik tiba, kami pun membeli-belah, dan meluangkan masa di pusat bowling seketika.Setelah agak-agak bonet dah hampir penuh, kami pun pulang.

Semasa aku cuba sebaik mungkin menjadi pemandu berhemah, aku menerima beberapa kerdipan lampu dari kereta-kereta yang cuba memotong kereta sewa kami. Sebaik mereka mengiringi keretaku semasa memotong, pandangan penuh bermakna dapat aku lihat dari air muka mereka. Maklumla, baru belajar memandu kereta manual. Tambah pula dari tadi aku rasa kereta ni tak berapa pick up la..ceh..macam la mahir sangat nak komen-komen.

"Apasal diorang ni? Aku ni pakai baju terbalik ke? Macam la diorang leh nampak..."

"Napa wani?"

"Ntah, tadi ada keta bagi lampu kat aku..ni ada lagi satu, apasal ntah..!"

Aku dah mula rasa lenguh menekan pedal minyak..fikirku,aku belum biasa memandu jauh..lantas sebaik tiba ditali air, kira-kira lagi 30 minit nak sampai kolej aku berhentikan kereta di bahu jalan.

"Ina, kau bawak la...aku dah penat..." Tiba-tiba....semasa aku nak tarik handbreak..

"Eh..?? laaaa....!!! aku tak turunkan handbreak la...!!! Patut la aku penat tekan minyak..!"

Sebaik aku jejak kaki keluar, bau seakan getah yang dipanggang menerjah hidung! Huh...nasib la kereta sewa, apa ada pada tayar? iskk...Lantas baru aku faham apakah hajat tuan empunya kereta yang memberika kerdipan manja...untuk memaklumkan yang aku tak turunkan handbreak!

Selepas puas tertawa dengan kejadian yang baru menimpa, satu soalan menerjah kepala kami..

"Eh,macam mana kita nak bawak barang-barang ni..??"

"Aku tak nak la jalan kaki, penat la..barang dah la berat..bukan dekat nak menapak!"

"Tapi mana boleh bawak keta masuk kan?"

"Memang la, lagi-lagi kalau kolej tau kita menyewa keta..kantoi je.."

"Um..okey, macam ni..."

Kami pun berhenti di sebuah stesen minyak, dalam masa 10minit Nani muncul semula dari tandas dengan berpakaian pink. Kami bergerak pantas ke kolej, mengejar waktu sebelum jam 6.00 petang. Sebaik tiba di pondok pengawal, Nani keluar dengan wajah "aku takde wat salah pape..takde-takde..." lantas menegur pakcik pengawal...

"Pakcik saya nak ambilkan buku Outing"

"Anak blok mana?"

"Blok A3"

Pakcik menyerahkan beberapa ikatan buku Outing yang berlabel A3..Dengan cekap Nani mengecam buku ahli A3208 (kecuali buku Pah....kenapa sorang diabaikan? tunggu...) dan menyusupkan kedalam beg sandangnya meninggalkan hanya buku beliau ditangan.

"Terima kasih pakcik!"

ZASSS kami pantas ke blok kami dan memunggah barang-barang yang sebonet..sebaik selesai, Pah berbekalkan sepasang uniform pink berlalu keluar kolej seolah-olah pelawat yang baru usai dari menghantar sepupu/kawan dsb ke kolej.

Hampir jam 7.30 barulah kami lega melihat kelibat Pah tiba ke A3208 berpakaian seragam pink yang dibawa tadi.. ;) sekarang anda tahu kenapa buku beliau diabaikan ?

Seolah-olah bertih jagung, mulut Pah riuh menceritakan detik-detik beliau mendapat belas dari seorang pensyarah.

"Ko tau, aku sebenarnya da penat gila nak jalan balik. Tiba-tiba ade kereta berhenti tepi aku, rupa-rupanya pensyarah aku! Dia tanya napa aku lambat balik?"

Aku pun tak ingat apa dia goreng kat pensyarah tu, Pah memang kaki goreng.hehehe..kan Pah?? Terus pensyarah tu tumpangkan dia sampai depan kolej!

Sambil aku leka dengar cerita Pah, aku nak cuba stokin baru aku...masa tu aku suka beli kat Soxworld. Sebaik aku selak kain ,aku nampak ade lelehan darah...

"Isk...ada pacat la...! tolongg wei..tolong...!" Sambil aku acukan kaki aku pada rakan-rakan lain..

Sekali lagi aku tak ingat siapa yang tolong nyahkan pacat tu. Ni mesti lekat masa aku turun kat tepi tali air tadi...patut la ko kenyang...dah lama..isk..isk..

Hurm..salah satu pengembaraan kami yang tak kan kami lupakan...dan antara topik yang dikongsi sewaktu pertemuan di majlis Zaidah.

Oh ya...berbalik pada niat asal...


Dari kiri: Nani,Wani,Zaidah(Duduk),Wani Kung,Liza

Tahniah Zaidah, semoga jodoh kekal ke akhir hayat. Semoga tabah dan tenang melalui alam berumahtangga. Aku minta maaf tak dapat menyumbang tenaga untuk hari bahagia kau. Cuma dapat teman masa akad nikah je, terkilan tapi tak mampu berbuat apa-apa memandangkan tuntutan kerja membantutkan hasrat aku bercuti.

4 dah menamatkan zaman bujang...4 lagi? Tunggu....next will be in Kuantan InsyaAllah...kan Pah?