Dua bulan sebelum majlis, kami telah pergi ke sebuah gudang menjual bahan-bahan hantaran dan persiapan perkahwinan. Tempatnya luas, terletak di Balakong. Oleh kerana tidak berpengalaman dalam perkara sebegini, kami mengambil masa selama hampir 3 jam di sana. Menelek contoh, mereka hiasan dan memilih bahan. Sampaikan pakcik india (ketrampilan beliau kelihatan agak ganas jika dibandingkan dengan kerjaya beliau sebagai pelayan di gedung barangan perkahwinan) yang melayan kami tertawa melihat telatah kami yang kalut dan kekok. Semua hantaran kami (3 anak dara dan emak) yang hasilkan sendiri, kecuali sirih junjung dan lipatan kain pasang kami tempah. Ikut rancangan asal kami akan membalas dengan 7 dulang hantaran, tetapi 2 insan bermurah hati telah menyumbang menjadikan jumlah bertambah kepada 9 dulang.
Memandangkan adik aku menetap di Shah Alam dan kakak sulungku menetap di Seremban, maka hujung minggu merupakan hari bekerja untuk persiapan. Maka setiap minggulah mereka akan pulang dan dua bulan sebelum majlis merupakan hari minggu yang amat sibuk. Dipendekkan cerita, kami seolah-olah melakukan perubahan lebih kurang 80% ruangan atas rumah sama ada perabot, cat dan susun atur. Maklumlah sejak(1993) menetap di rumah ini, inilah pertama kali kami melakukan baikpulih dan menghias rumah secara besar-besaran. Dah alang-alang kan, teruskan sahaja.
Pada hari Jumaat, 2 orang makcik aku dari JB tiba sebelah petang. Salah seorang makcik aku ini adalah penyumbang hantaran. Beliau memang pakar roti dan kek. Seperti yang aku ceritakan didalam entri TERIMA KASIH, beliau membawa 2 biji kek bersama beliau dan telah menempah satu kerusi untuk kanak-kanak sebagai tempat meletak kek tersebut. Sebaik mereka tiba dirumah kami, kami mengerumuni buah tangan beliau itu. Wah...! Cantiknya !! Kami amat kagum dengan kecantikan kek yang beliau hasilkan.
Setelah bertungkus-lumus dengan persiapan yang rapi (Alhamdulillah), hari yang dinantikan pun tiba. Oleh kerana kepenatan merapikan hantaran pada malam sebelumnya, aku terjaga pada jam 7.30 pagi. Itupun setelah terhidu aroma nasi lemak, secara automatik perutku berlagu riang..hehehe...Sebaik turun ke ruang tamu, kelihatan makcik-makcikku bersama yang lain-lain sedang menikmati hidangan yang aku ceritakan tadi. Aku sahaja yang terlambat...
Selesai makan, tugas pun dimulakan. Kami mula mengeluarkan perabot-perabot yang ada di ruang tamu ke luar. Saudara-maraku yang lain mula tiba pada jam 9.00 pagi ke atas. Ada yang terus membantu didapur, menyediakan sarapan bagi saudara yang baru tiba. Ada yang sibuk dibilik kami menyusun atur hantaran untuk diambil gambar. Adik-beradik emak aku sahaja sudah 12 orang (cuma seorang yang tidak hadir lantaran menjaga nenekku yang uzur dikampung), adik-beradik bapaku pula 7 orang (juga seorang tidak hadir kerana berada diperantauan)belum masuk sepupu-sepupu dan anak-anak buah. Ada yang membantu persiapan di khemah. Sekejap aku ke atas, sekejap ke bawah. Membantu apa yang patut. Sungguh sibuk dan meriah! Bagaikan majlis perkahwinan mini..!
Jurusolek tiba kira-kira jam 11.30, Tidak lama selepas itu jurukamera pula tiba. Adikku yang tidak betah memakai kanta lekap mengalirkan air mata dek pemakaian tersebut. Sebaik hilang kemerahan matanya, beliau terus disolek rapi. Selepas memastikan semua keperluan jurusolek dan jurukamera disediakan , aku turun kebawah melayan rakan-rakan beliau dan tetamu lain yang mula tiba. Nasi lemak dan karipap menjadi hidangan bagi tetamu-tetamu yang tiba awal. Rumahku begitu hidup dengan kemeriahan tetamu yang hadir. Saudara-maraku ligat membantu melayan tetamu. Sepupu-sepupu dan anak-anak kecil berkeliaran di ruang tamu bermain sesama mereka. Ah, rindu betul kemeriahan ini. Kali terakhir majlis keramaian kami adalah majlis perkahwinan makcikku yang bongsu sebelah emak. Sudah lebih 3 tahun rasanya. Beliau pun dah mengandungkan anak kedua.
Lebih kurang jam 12.00 tengah hari, makanan dari 'caterer' pun sampai. Kini makcik dan pakcikku yang diluar sibuk mengarah petugas-petugas 'caterer' itu menyusun makanan seperti yang dikehendaki. 2 biji khemah disediakan untuk tetamu. Pada mulanya kami berat untuk membuka 2 khemah kerana segan, bagaikan beriya benar. Tapi memikirkan saudara yang ramai, kami buka juga dua khemah. Keputusan itu amat tepat! Satu setengah khemah sahaja dipenuhi saudara-mara. Hehehe...
Lebih kurang jam 1.00 tengah hari semua jemputan dijemput makan. Sebaik azan berkemundang, solat jemaah zuhur dilangsungkan diruang tamu. Bacaan doa selamat dan tahlil dilakukan sebaik sahaja selesai solat zuhur. Alhamdulillah masanya tepat, tidak lama selesai tahlil, rombongan lelaki tiba. Acara berbincang pun bermula, sungguh meriah. Pihak kami diwakili pakcik aku yang memang berpengalaman luas dalam acara ini. Kerap kali tawa pecah akibat dari lelucon yang galak dihasilkan oleh kedua-dua wakil. Perbincangan dihadiri oleh 2 saksi utama iaitu jiran kami, orang kuat surau qari'ah kami. Ruang tamu begitu penuh, termasuk yang duduk di ruang anak tangga rumah kami. Aku juga berdiri di anak tangga sambil merakam perbinicangan untuk disaksikan oleh adik aku kemudian nanti. Sebaik selesai perbincangan, aku diarahkan oleh pakcikku untuk memanggil adikku. Beliau turun diiringi rakan-rakan beliau yang membawa dulang hantaran. Aku segera meletakkan alas duduk di hadapan ibu Azhar. Ketika ibu Azhar menyarung cincin, kedengaran bunyi keletik kamera-kamera..
Klik...! Klik..! Klik...! Klik..! Klik..!
Memancar-mancar lampu dari setiap kamera, maklumlah cahaya perlu dilebihkan sedikit kerana yang menjadi objektif tu..
Uhuk...uhuk...batuk pula... eh..di mana tadi ya...?
Bagaikan artis pula! Sebaik cincin tersarung, Dila menyalam ibu Azhar. Kedengaran suara-suara menjerit kecil...
"Lama sikit (salam)...!"
Kemudian ada pula suara berkata..
"Nangis sikit..!"
Hehehe....bukannya nikah..!
Sebaik selesai upacara menyarung cincin, pakcikku menjemput rombongan dan hadirin lain menjamu selera. Sementelah itu, aku melayan tetamu-tetamu lain yang masih berada di dalam rumah termasuk dua sahabatku yang turut memeriahkan majlis (Terima kasih ya Kak Intan dan Kak Yani). Aduh..mudanya aku! Ihikss...
Tidak lama selepas kami selesai menukar dulang hantaran, pihak lelaki selesai menjamu selera. Sesi fotografi pasangan bersama keluarga kedua belah pihak diadakan. Kemudian rombongan pun pulang berbekalkan bontrot (owh, rupanya boleh dijumpai di internet jika dibuat carian perkataan ini dan aku juga telah terjumpa sebuah blog yang menggunakan 99% bahasa Jawa! seronoknya baca! Rasa rindu pada kampung!).
Kami bersyukur semua berjalan seperti yang dirancang, emakku segera melakukan sujud syukur sebaik majlis selesai (Ini yang aku kagum, ibuku jarang sekali alpa). Menjelang 6.30 petang semua saudara-maraku telah pulang. Hanya makcikku yang bongsu bersama suami dan seorang anaknya yang sangat comel bermalam dirumahku malam itu. Petang itu kami terus mengemas semula semua permaidani dan meletakkan semula permaidani yang asal. Perabot diangkut semula kedalam.
Selepas solat Magrib, kami habiskan mengemas seba-sedikit sambil melayan keletah anak comel ini
Beliau sangat gemarkan saluran Oasis terutama bacaan ayat-ayat suci atau nasyid. Gambar diatas diambil ketika beliau khusyuk menonton bacaan ayat-ayat Al-Quran. Kau buatlah apa sahaja untuk menarik perhatiannya, kau tetap akan diabaikan. Hehe...
Malam itu kami dikunjungi jiran dari rumah berhadapan kami. Beliau hadir awal sebelum majlis bermula pada siang hari, cuma makan kemudian terpaksa ke majlis lain. Jadi kunjungan mereka sebagai berbahasa kerana tidak dapat berada semasa majlis berjalan. Budi bahasa masyarakat kita masih tinggi, tapi sayang hanya segelintir...
Malam itu kami semua tidur awal, kepenatan..! Isnin kami masih cuti, selesaikan urusan mengemas. Adikku yang bongsu sahaja bekerja, beliau memprotes dengan tidak mahu bersarapan. Walhal kalau ada nasi lemak, tidak kurang 2 pinggan adalah wajib! Hehe..rugilah kau adik! Emak dan abah tak layan protes kau...hehehe...beliau terpaksa bekerja dengan muka empat segi..
Ketika aku, abah dan akakku memunggah semula pasu-pasu bunga belaan emakku ke garaj hadapan semula...makcikku berbual dengan emakku. Perbualan beliau 80% berkisarkan perancangan perkahwinan adik aku!
Hahaha...Dila...kau tak perlu cari "Wedding Planner"...! Dan majlis kau jangan ditunda lama-lama...Makcik kita dah tak sabar tau...! Ihikss !!!
Gambar-gambar semasa majlis..
Dari kiri: mak Long, Mak Teh dan Isteri Haji Junid.
Sekian celoteh panjang aku...nak lihat lebih gambar sila ke sini.
2 comments:
pergh.rajin benor ko taip panjang2 ni.hahahah..anti apis bincang ape ngan mak?xtau cite ponnnn
aku tak dapat melelapkan mata dek kerana minum kopi 'kow'..tu yang panjang..!
Bukan 'anti' apis la..'anti' is..aku dah bagi tahu kau lah..
Post a Comment